Jalan Allah
Frasa sabiilillaah atau jalan Allah disebut untuk membangkitkan semangat umat Islam. Apabila disebut bersama jihad, ia berbunyi jaahiduu fii sabiilillaahi yang bermaksud berjuanglah di jalan Allah. Semangat dikubarkan lagi apabila ia berpasangan dengan kata perang pula, lalu menjadi qaatil fii sabiilillaahi atau berperanglah di jalan Allah.
Jalan Allah, sebenarnya, adalah bukan sahaja jihad atau perang. Bernafkah atau berbelanja, berhutang, dan berhijrah, adalah juga pakaian di jalan-Nya.
Seru ke jalan Allah
Petunjuk bagi jalan Allah adalah al-Qur'an. Jalan-Nya lurus (6:126). Dan kepada semua orang, jalan itu haruslah diseru.
Para penyeru ke jalan Allah menyeru dengan hikmah (kebijaksanaan) dan teguran yang baik. Kerana mereka mentaati suruhan Allah yang bermaksud,
"Serulah ke jalan Pemelihara kamu dengan kebijaksanaan dan teguran yang baik," (16:125).
Nafkah di jalan Allah
Jalan Allah menelan belanja. Perbelanjaan dikeluarkan daripada harta yang dimiliki. Membelanjakan harta seperti itu adalah besar pada pandangan Allah. Firman-Nya,
"Persamaan orang-orang yang menafkahkan (membelanjakan) harta mereka di jalan Allah seperti persamaan sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai bijirin. Pada tiap-tiap tangkai bijirin, ada seratus biji. Maka Allah menggandakan kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki; Allah Merangkumi, Mengetahui." (2:261)
Seperti yang sedia maklum, nafkah diberi kepada orang-orang tertentu. Dan juga kepada penyebaran jalan Allah. Itulah yang dilakukan oleh orang-orang yang percaya kepada-Nya. Mereka menafkahkan harta mereka untuk menyebarkan jalan Allah. Sebaliknya pula, orang-orang yang tidak percaya, mereka juga didapati menafkahkan harta mereka, tetapi untuk menghalangi orang lain daripada jalan-Nya (8:36).
Contoh harta yang diberi, di dalam al-Qur'an, untuk memperluaskan jalan Allah adalah barisan-barisan kuda (8:60). Atau bermaksud, berbelanja untuk mengadakan barisan-barisan kuda, yang merupakan alat dan senjata yang pantas, berkesan, dan terkini, dalam perjuangan demi menegakkan jalan Allah.
Perjuangan untuk jalan Allah membawa kemenangan. Kemenangan itu adalah juga kemenangan yang besar bagi orang-orang yang menafkahkan harta mereka, dan berperang, sebelum mencapai kemenangan tersebut. Darjat mereka adalah lebih tinggi daripada orang-orang yang menafkahkan dan berperang sesudah kemenangan. Namun, bagi masing-masing Allah menjanjikan hanya yang paling baik. Firman-Nya,
"Mengapakah kamu, bahawa kamu tidak menafkahkan di jalan Allah ....... Tidaklah sama orang antara kamu yang menafkahkan, dan yang berperang sebelum kemenangan; mereka itulah yang lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang menafkahkan dan berperang sesudahnya; dan masing-masing Allah menjanjikan yang paling baik; dan Allah menyedari apa yang kamu buat." (57:10)
Akan tetapi, sekiranya amalan nafkah atau berbelanja di jalan Allah itu tidak dilakukan, maka kaum (seperti Melayu) yang terlibat akan diganti Allah dengan kaum lain yang tidak serupa dengannya. Firman-Nya,
"kamu diseru untuk menafkahkan (membelanjakan) di jalan Allah, dan antara kamu ada orang yang kikir. Sesiapa yang kikir, dia kikir hanyalah terhadap dirinya sendiri. Allah Yang Kaya; kamu yang fakir (berkeperluan). Jika kamu berpaling, Dia akan menukarkan kamu dengan kaum yang selain daripada kamu, kemudian mereka tidaklah yang serupa dengan kamu." (47:38)
Mungkin kaum yang mengganti itu terdiri daripada orang-orang yang baik atau orang-orang yang sangat jahat dan zalim. Apapun, mereka bukanlah seperti kaum yang diganti.
Berhutang di jalan Allah
Boleh jadi, kerana suruhan berbelanja itu, muncullah orang-orang yang sanggup berhutang di jalan-Nya. Kepada mereka yang susah itu, haruslah disedekahkan atau diberi bantuan. Firman-Nya,
"Sedekah adalah untuk orang-orang fakir (yang memerlukan), dan orang-orang miskin, dan yang beramal terhadapnya, dan orang-orang yang hatinya disatukan, dan memerdekakan hamba-hamba, dan orang-orang yang berhutang di jalan Allah, dan musafir; begitulah ketentuan Allah, dan Allah Mengetahui, Bijaksana." (9:60)
Penghalang jalan Allah
Jalan lurus tidak sunyi daripada kunjungan para penghalang. Mereka yang menghalangi telah dikenalpasti. Antara golongannya terdapat mereka yang sukar dipercayai tetapi kerana disebut oleh Allah maka mereka adalah benar belaka. Diturunkan di bawah ini empat golongan yang menghalangi jalan Allah:
(a) orang-orang yang tidak percaya
Firman-Nya,
"Sesungguhnya orang-orang yang tidak percaya dan menghalangi daripada jalan Allah, mereka sesat dalam kesesatan yang jauh." (4:167)
Mereka yang dikatakan tidak percaya itu adalah yang tidak percaya kepada al-Qur'an.
(b) orang-orang yang lebih menyukai dunia
Mungkin kerana pangkat, kedudukan, dan sebagainya, mereka memilih untuk jadi begitu. Firman-Nya,
"Orang-orang yang lebih menyukai kehidupan dunia daripada akhirat, dan menghalangi daripada jalan Allah, dan menginginkannya menjadi bengkok; mereka adalah dalam kesesatan yang jauh." (14:3)
(c) ahli Kitab
Firman-Nya,
"Katakanlah, 'Wahai ahli Kitab, mengapakah kamu menghalangi daripada jalan Allah orang yang percaya, dengan menginginkannya menjadi bengkok, dan kamu sendiri saksi-saksi?" (3:99)
Ahli Kitab adalah orang-orang yang diberi Kitab Allah, termasuk Kitab al-Qur'an. Mereka turut menghalangi daripada jalan Allah! Dan akhirnya,
(d) para habr
Firman-Nya,
"Wahai orang-orang yang percaya, kebanyakan habr, dan rahib, sesungguhnya mereka memakan harta manusia dengan cara palsu, dan menghalangi daripada jalan Allah." (9:34)
Golongan habr atau ulama agama adalah yang paling sukar dipercayai sebagai penghalang jalan Allah kerana pengaruh mereka adalah kuat dalam masyarakat Islam.
Cara mereka menghalangi
Terdapat dua cara sahaja, tetapi amat berkesan. Pertama, menjual ayat-ayat Allah. Atau, melepaskan ayat-ayat Allah untuk sesuatu keuntungan, yang Dia sifatkan sikit. Dan kedua, dengan cara sumpah, atau pengakuan, atau ikrar yang dilafaz, dibuat:
(a) menjual ayat-ayat Allah
Firman-Nya,
"Mereka menjual ayat-ayat Allah untuk harga yang sedikit, dan menghalangi daripada jalan-Nya; sesungguhnya amatlah jahat apa yang mereka buat." (9:9)
Mereka yang terlibat kelihatan seperti sudah mengetahui ayat-ayat Allah, tetapi kerana "dunia", sanggup melepaskannya, lalu jalan Allah dihalangi.
(b) sumpah
Firman-Nya,
"Janganlah menjadikan sumpah-sumpah kamu sebagai hanya tipu muslihat antara satu sama lain, supaya kaki tidak tergelincir setelah ia berdiri teguh, dan kamu akan merasakan kejahatan kerana kamu menghalangi daripada jalan Allah, dan bagi kamu, azab yang besar." (16:94)
Sumpah di situ nampak seperti umum. Ayat yang di bawah ini pula mengkhaskan sumpah kepada sesuatu yang dilafaz oleh orang-orang munafik:
"Mereka mengambil sumpah-sumpah mereka sebagai selimut, kemudian mereka menghalangi daripada jalan Allah. Sesungguhnya mereka, adalah jahat apa yang mereka buat." (63:2)
Sumpah orang-orang munafik yang menjadi selimut untuk menghalangi daripada jalan Allah itu disebut di dalam ayat sebelumnya iaitu 63:1 (Surah al-Munafiqun, ayat pertama). Untuk penjelasan selanjut, sila rujuk di sini.
Menyesatkan daripada jalan Allah
Selain yang menghalangi, terdapat mereka yang menyesatkan daripada jalan Allah. Mereka adalah seperti lima yang disenaraikan di bawah ini:
(a) kebanyakan orang di bumi
Firman-Nya,
"Jika kamu mentaati kebanyakan orang di bumi, mereka akan menyesatkan kamu daripada jalan Allah; mereka mengikuti hanya sangkaan, semata-mata dugaan." (6:116)
Kesimpulannya, jangan ikut majoriti.
(b) mengadakan rakan-rakan bagi Allah
Firman-Nya,
"Dan mereka mengadakan rakan-rakan bagi Allah supaya mereka menyesatkan daripada jalan-Nya." (14:30)
Rakan-rakan yang gemar diada-adakan bagi Allah adalah seperti nabi, rasul, orang-orang alim, dan sebagainya.
(c) membantah tanpa pengetahuan, petunjuk, atau kitab
Firman-Nya,
"Dan antara manusia, ada orang yang membantah mengenai Allah tanpa pengetahuan, atau petunjuk, atau sebuah kitab yang memberi cahaya, Dengan memalingkan lambungannya untuk menyesatkan daripada jalan Allah;" (22:8-9)
Mereka membantah mengenai Allah, atau al-Qur'an, tanpa petunjuk yang bercahaya.
(d) hadis
Ini agak sensititif. Akan tetapi, ia adalah kalimat hadis di dalam salinan asal. Maka hadislah dicatatkan dalam ayat berikut:
"Antara manusia, ada yang membeli hadis yang menghiburkan untuk menyesatkan daripada jalan Allah tanpa pengetahuan, dan untuk mengambilnya dalam olok-olokan; mereka itu, bagi mereka, azab yang hina." (31:6)
(e) keinginan
Atau, hawa nafsu, seperti yang diertikan oleh sesetengah pihak. Mungkin juga apa yang dikatakan keinginan itu adalah ego seseorang. Maka ego itu mampu untuk menyesatkan orang daripada jalan Allah dengan berlaku tidak adil. Firman-Nya,
"maka hakimkanlah antara manusia dengan adil, dan janganlah mengikuti keinginan supaya ia tidak menyesatkan kamu daripada jalan Allah." (38:26)
Hijrah di jalan Allah
Penganiayaan dan pengusiran akan berlaku kepada orang-orang yang percaya, yang berada di jalan Allah. Lalu hijrah disebut di dalam al-Qur'an sebagai satu langkah yang wajar untuk diambil. Ia kelihatan seperti menjadi sunnah Allah. Kerana nabi-nabi atau rasul-rasul ramai yang berhijrah, seperti Nuh, Lut, Musa, dan Muhammad. Nabi Isa telah melarikan diri ke tempat lain selepas peristiwa "salib" yang berlaku padanya, menurut sesetengah pendapat. Seperti itu juga dipercayai telah berlaku ke atas nabi-nabi kaum Ad dan Tsamud, yang dihapuskan secara total.
Kepada orang-orang yang berhijrah di jalan-Nya Allah berjanji, yang berbunyi,
"Dan sesiapa berhijrah di jalan Allah, dia akan mendapati di bumi banyak tempat perlindungan, dan keluasan." (4:100)
Setelah berhijrah mereka meneruskan perjuangan, dan bersabar (16:110). Antara mereka ada juga yang terbunuh.
Sebaliknya pula, jika orang-orang yang dianiayai tidak berhijrah, atau melarikan diri, lalu maut menimpa mereka, maka Jahanamlah menjadi tempat menginap mereka di akhirat kelak (4:97).
Jihad di jalan Allah
Jihad, atau berjuang, dalam bahasa Melayu, adalah untuk al-Qur'an. Ia adalah satu jalan untuk mendekatkan dengan Allah. Harta dan jiwa, atau nyawa, dikorbankan untuk jalan-Nya. Akan tetapi, jihad itu tidak semestinya perang dalam erti yang sebenar, iaitu perang dengan senjata. Perang seperti itu, disebut dengan perkataan lain di dalam al-Qur'an, dan akan disentuh selepas perkara ini.
Firman-Nya,
"Wahai orang-orang yang percaya, takutilah Allah, dan carilah jalan untuk mendekatkan dengan-Nya, dan berjuanglah (jihad) di jalan-Nya agar kamu beruntung." (5:35)
"Pergilah, dengan ringan dan berat! Berjuanglah (jihad) di jalan Allah dengan harta kamu dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui." (9:41)
Berjihad adalah suatu ujian daripada Allah untuk mengenali orang-orang yang melakukannya, dan yang bersabar. Firman-Nya,
"Dan sungguh, Kami akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang antara kamu yang berjuang dan yang sabar," (47:31).
Semua orang akan diseru untuk berjuang. Mereka tidak dibiarkan begitu sahaja. Mereka juga tidak akan masuk Taman tanpa melakukannya. Demikianlah maksud dua ayat Allah, yang berbunyi,
"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan dibiarkan sedang Allah belum mengetahui orang-orang yang berjuang antara kamu," (9:16).
"Atau, adakah kamu menyangka bahawa kamu patut masuk Taman tanpa Allah mengetahui orang-orang yang berjuang antara kamu, dan tanpa Dia mengetahui orang-orang yang sabar?" (3:142).
Satu daripada balasan yang diterima oleh orang-orang yang berjuang untuk Allah, di dunia ini, ialah mendapat petunjuk pada jalan-jalan-Nya (29:69). Balasan ini sungguh bermakna.
Sasaran
Jihad untuk al-Qur'an adalah besar. Sasarannya adalah orang-orang yang tidak percaya dan orang-orang munafik. Firman-Nya,
"Maka janganlah mentaati orang-orang yang tidak percaya, tetapi berjuanglah (jihad) terhadap mereka dengan perjuangan yang besar." (25:52)
"Wahai Nabi, berjuanglah (jihad) terhadap orang-orang yang tidak percaya, dan orang-orang munafik, dan bersikapkeraslah terhadap mereka" (9:73)
Bahaya yang didatangkan oleh kedua-dua golongan tersebut tidak boleh dinafikan kebesarannya.
Disakiti di jalan Allah
Dalam perjuangan, kesakitan harus ditempuhi. Tetapi kesakitan itu dibalas dengan sebaik-baik ganjaran daripada Allah. Firman-Nya,
"Dan orang-orang yang berhijrah, dan diusir daripada tempat tinggal mereka, dan mereka yang disakiti di jalan-Ku, dan berperang, dan dibunuh, merekalah yang Aku pasti akan melepaskan daripada kejahatan-kejahatan mereka, dan Aku akan memasukkan mereka ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai; satu ganjaran daripada Allah, dan Allah, di sisi-Nya sebaik-baik ganjaran." (3:195)
Perang di jalan Allah
Kemuncak berjuang di jalan Allah ialah perang, iaitu sesuatu yang tidak digemari manusia, tetapi ia adalah baik, menurut Allah (2:216). Tiga sebab untuk berperang di jalan Allah diturunkan di bawah:
(a) diperangi
Umat berperang terhadap orang-orang yang memerangi. Dengan tanpa mencabuli. Firman-Nya,
"Dan berperanglah di jalan Allah terhadap orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu mencabuli; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang mencabul." (2:190)
(b) penganiayaan kerana agama
Firman-Nya,
"Perangilah mereka sehingga tidak ada lagi penganiayaan, dan agama adalah untuk Allah; kemudian jika mereka berhenti, maka tidak ada permusuhan kecuali kepada orang-orang yang zalim." (2:193)
(c) dizalimi
Firman-Nya,
"Diizinkan kepada orang-orang yang memerangi kerana mereka dizalimi; sesungguhnya Allah berkuasa untuk menolong mereka," (22:39)
"Bagaimanakah dengan kamu, bahawa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah untuk lelaki-lelaki, dan perempuan-perempuan, dan kanak-kanak, yang dihinakan, yang berkata, 'Wahai Pemelihara kami, keluarkanlah kami daripada bandar raya ini yang penduduknya zalim, dan lantikkanlah bagi kami seorang wali (pelindung) daripada sisi Engkau, dan lantikkanlah bagi kami, daripada sisi Engkau, seorang penolong.'" (4:75)
Sebenarnya, orang-orang mukmin digesa untuk berperang di jalan Allah (4:84). Mereka melakukannya dalam barisan-barisan (atau unit-unit) yang teratur, dan padu. Firman-Nya,
"Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan-barisan, seakan-akan mereka sebuah bangunan yang padu." (61:4)
Amalan yang salih
Jalan Allah penuh cabaran. Apa sahaja yang ditimpa di jalan-Nya, akan diterima sebagai amalan yang salih (baik) oleh Allah. Firman-Nya,
"itu adalah kerana mereka tidak ditimpa kehausan, dan tidak juga keletihan, dan tidak juga kekosongan di jalan Allah, dan tidak juga mereka memijak sebarang pijakan yang menimbulkan marah orang-orang yang tidak percaya, dan mereka tidak juga memperoleh sesuatu perolehan daripada sebarang musuh, melainkan ditulis bagi mereka sebagai amalan yang salih (baik); sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan upah orang-orang yang berbuat baik." (9:120)
Maka orang-orang yang berbuat baik berlumba-lumba di jalan Allah, untuk jalan Allah.
ไม่มีความคิดเห็น:
แสดงความคิดเห็น